Golongan penerima pencen dan faedah bagi bayaran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dapat menikmati imbuhan masing-masing dengan lebih awal setelah kerajaan bersetuju mempercepatkan tempoh pembayaran tersebut bermula bulan ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.
Beliau berkata, setiap bayaran berkala bagi penerima pencen dan faedah melibatkan 300,000 pencarum yang telahpun bermula semalam sehingga Ogos nanti dibuat bertujuan meringankan beban ditanggung oleh orang berinsurans serta tanggungan mereka akibat impak Covid-19.’
“Pembayaran bulanan akan dipercepatkan mulai bulan ini yang akan memanfaatkan penerima pencen dan faedah berikut iaitu pencen ilat atau penakat, faedah orang tanggungan, faedah hilang upaya kekal berkala dan faedah elaun layanan sentiasa.
“Untuk bulan ini, PERKESO akan mengkreditkan semua bayaran berkala di atas kepada institusi perbankan. Tarikh bayaran akan diterima oleh orang berinsurans dan tanggungan bergantung kepada pengkreditan oleh bank-bank berkaitan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pembayaran awal untuk bulan-bulan seterusnya adalah pada 24 April, Mei (20 Mei), Jun (25 Jun), Julai (24 Julai) dan Ogos (25 Ogos).
Untuk sebarang pertanyaan, emelkan ke perkeso@perkeso.gov.my atau berhubung sahaja dengan laman rasmi Facebook Kementerian Sumber Manusia.