Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) menggesa mana-mana pekerja yang mendapati diri mereka dianiaya oleh majikan berkaitan penyalahgunaan undang-undang di dalam peruntukan perundangan perburuhan untuk tampil mengemukakan laporan ke Jabatan Tenaga Kerja yang terdekat.

Menurut JTKSM yang mewakili Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan baru-baru ini, khidmat nasihat dan tindakan remedi akan dilaksanakan sebaik sahaja laporan dibuat.

“Kepentingan dan hak warga pekerja akan dilindungi selaras dengan peraturan dan peruntukan di bawah perundangan perburuhan khususnya Akta Kerja 1955.

“Akta Kerja 1955 adalah sebuah perundangan perburuhan utama yang menggariskan terma dan syarat bagi sesuatu kontrak perkhidmatan antara pihak majikan dan pekerja. Akta itu juga memperuntukan pelbagai bentuk perlindungan dari segi hak dan faedah bagi memelihara kebajikan dan kepentingan para pekerja,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, akta tersebut yang merupakan perundangan sosial telah menetapkan pelbagai prosedur bagi tujuan mendapatkan remedi selain memperuntukkan penalti bagi sesuatu kesalahan di bawah akta yang sama.

Pekerja-ditindas-Foto-sekadar-hiasan.jpg