Salah satu kajian terbesar tenaga kerja global PwC menunjukkan:

• Dua daripada lima pekerja percaya bahawa pekerjaan mereka tidak akan diperlukan dalam tempoh 5 tahun

• Separuh daripada tenaga kerja global melaporkan telah terlepas peluang-peluang kerjaya akibat amalan berat sebelah

• Peluang latihan memberi tumpuan kepada mereka yang telah mempunyai tahap kemahiran yang tinggi

• Golongan muda melaporkan lebih terfokus untuk memaksimumkan pendapatan berbanding ‘membawa perbezaan’

• Hanya 1 daripada 10 pekerja yang boleh bekerja dari jarak jauh mahu kembali kepada persekitaran perjalanan ulang-alik dan pekerjaan tradisional sepenuh masa

• Sebaliknya, para pekerja mengambil keputusan untuk menentukan masa depan mereka sendiri: 77% bersedia untuk mempelajari kemahiran baharu atau mendapat latihan semula sepenuhnya dan 49% ingin menubuhkan perniagaan mereka sendiri

Tinjauan baharu yang meliputi 32,500 orang pekerja di 19 buah negara memberi gambaran tentang tenaga kerja global yang menyaksikan peralihan kepada pekerjaan secara jarak jauh sebagai suatu sebab yang amat kecil.

Ia mencerminkan hakikat bahawa pandemik telah mempercepatkan beberapa trend tenaga kerja, 60% bimbang bahawa automasi mendedahkan banyak pekerjaan pada risiko; 48% percaya ‘pekerjaan tradisional tidak akan wujud pada masa hadapan’ dan 39% berfikiran pekerjaaan mereka mungkin sudah tidak diperlukan dalam tempoh 5 tahun.

Namun, ini bukan suatu keadaan keputusasaan kerana 40% pekerja menyatakan kemahiran digital mereka telah meningkat sepanjang tempoh sekatan pergerakan yang berpanjangan dan mendakwa mereka akan terus mengamalkan latihan dan pembangunan kemahiran.

77% bersedia untuk mempelajari kemahiran baharu atau menjalani latihan semula sepenuhnya’ dan 74% melihat latihan sebagai tanggungjawab peribadi.

Malah 80% yakin mereka dapat menyesuaikan diri dengan teknologi baharu yang diperkenalkan di tempat kerja mereka, dengan sebahagian besar daripada mereka yang ditinjau iaitu di India (69%) dan di Afrika Selatan (66%) menyatakan bahawa mereka ‘sangat’ yakin.

Selain itu, 49% responden memberi tumpuan kepada membina kemahiran keusahawanan dengan minat untuk menubuhkan perniagaan mereka sendiri.

SEPARUH DARIPADA TENAGA KERJA MELAPORKAN TERLEPAS PELUANG KERJAYA ATAU LATIHAN AKIBAT PREJUDIS

Tinjauan ini juga mendapati bahawa 50% daripada pekerja menyatakan mereka telah berhadapan diskriminasi di tempat kerja yang menyebabkan mereka terlepas kemajuan atau latihan kerjaya.

13% melaporkan terlepas peluang akibat etnik dan 14% pekerja telah mengalami diskriminasi berdasarkan jantina, dengan wanita berkemungkinan melaporkan dua kali ganda terhadap diskriminasi gender berbanding lelaki.

13% melaporkan diskriminasi berdasarkan kelayakan, dengan mereka yang mempunyai ijazah lanjutan dan kelayakan yang lebih tinggi adalah lebih cenderung untuk melaporkan prejudis. Golongan lebih muda sama mungkinnya dengan golongan tua untuk melaporkan diskriminasi berdasarkan usia.

Selain itu, tinjauan ini mendapati terdapat perbezaan dalam akses kepada peluang-peluang untuk meningkatkan kemahiran.

Walaupun, 46% pekerja yang mempunyai ijazah lanjutan menyatakan majikan mereka memberi mereka banyak peluang untuk meningkatkan kemahiran digital, namun hanya 28% pekerja yang mempunyai kelayakan lepasan sekolah menyatakan hal yang sama.

Industri seperti peruncitan atau pengangkutan yang paling berisiko menghadapi gangguan, masing-masih memperoleh skor hanya 25% dan 20%; manakala skor perbankan ialah 42%.

“Jika pola akses kepada latihan seperti sekarang berterusan, peningkatan kemahiran akan meningkatkan ketidaksamaan sosial apabila hal ini sepatutnya melakukan yang sebaliknya,” kata Bhushan Sethi, Ketua Global Bersama Amalan Sumber Manusia dan Organisasi PwC.

“Pemimpin kerajaan dan perniagaan perlu bekerjasama untuk meningkatkan usaha bagi memastikan para pekerja dalam industri dan kumpulan berisiko yang paling tinggi mendapat peluang yang mereka perlukan. Kemajuan automasi dan teknologi tidak dapat dielakkan, namun kita boleh mengawal sama ada kesan negatifnya diurus atau tidak.”

JIKA TERPAKSA MEMBUAT PILIHAN, GOLONGAN MUDA LEBIH FOKUS UNTUK MEMAKSIMUMKAN PENDAPATAN BERBANDING ‘MEMBAWA PERBEZAAN’

Tiga perempat pekerja di seluruh dunia (75%) menyatakan mereka ingin bekerja dengan organisasi yang membuat ‘sumbangan positif kepada masyarakat.’ Perasaan ini adalah ketara terutamanya di China (87%), India (90%) dan Afrika Selatan (90%).

Namun, ketidakjaminan ekonomi mengehadkan keupayaan para pekerja untuk mengejar kerjaya yang didorong oleh matlamat, yang khususnya mempengaruhi golongan lebih muda.

Secara keseluruhan, 54% daripada mereka yang ditinjau berkata, jika terpaksa memilih, mereka lebih mengutamakan pekerjaan yang membolehkan mereka ‘memanfaatkan setiap peluang untuk memaksimumkan pendapatan mereka’ berbanding pekerjaan yang ‘membawa perbezaan’ (46%).

Yang menariknya, mereka yang berumur antara 18 hingga 34 tahun lebih berkemungkinan mengutamakan pendapatan berbanding matlamat pekerjaan mereka dibandingkan dengan generasi lain, dengan 57% mengutamakan untuk ‘memaksimumkan pendapatan mereka’ berbanding ‘membawa perbezaan’ (43%), margin sebanyak 14 mata.

Mereka yang berumur lebih 55 tahun mengutamakan membawa perbezaan dengan margin sebanyak 8 mata, manakala pekerja yang berumur lebih 65 tahun meningkat kepada 22 mata.

“Ketika dunia terus bergelut dengan krisis kesihatan global dan ketidakpastian ekonomi, kita melihat para pekerja menuntut lebih banyak daripada komuniti perniagaan dan mengharapkan majikan mereka memberi sumbangan positif kepada masyarakat,” kata Peter Brown, Ketua Global Bersama Amalan Sumber Manusia dan Organisasi PwC.

“Mujurlah, memberi tumpuan kepada kesan masyarakat dan memaksimumkan keuntungan tidak berbeza sama sekali, dan menjadi perniagaan yang didorong matlamat, sebenarnya boleh membantu merangsang keuntungan anda.”

PARA PEKERJA MAHUKAN PILIHAN UNTUK BEKERJA SECARA JARAK JAUH PADA MASA AKAN DATANG

Tinjauan ini mencapai kesimpulan bahawa kerja secara jarak jauh akan berterusan pasca sekatan pergerakan. Daripada kalangan mereka yang boleh bekerja secara jarak jauh, 72% menyatakan mereka lebih suka gabungan pekerjaan secara bersemuka dan jarak jauh, dengan hanya 9% menyatakan mereka ingin kembali kepada persekitaran pekerjaan tradisional mereka sepenuh masa.

Ini khususnya benar dalam kalangan profesional, pekerja pejabat, pemilik perniagaan dan mereka yang bekerja sendiri yang kesemuanya dapat melaksanakan tugas mereka secara jarak jauh dengan memanfaatkan teknologi. Bekerja dari rumah tidak semestinya terhad kepada pekerjaan profesional.

43% pekerja manual dan 45% pekerja separa mahir menyatakan terdapat banyak unsur pekerjaan mereka yang dapat dilakukan secara jarak jauh.

Sikap pekerja untuk bekerja dari rumah juga berubah mengikut lokasi yang memberikan bukti selanjutnya tentang pandemik ini yang telah meningkatkan jurang digital global.

Para pekerja di kawasan metropolitan (66%) lebih cenderung untuk bekerja dalam tugasan yang membolehkan pekerjaan jarak jauh berbanding mereka yang tinggal di kawasan luar bandar (44%).

PARA PEKERJA TIDAK DAPAT MEMBUAT PILIHAN ANTARA PRIVASI DAN TEKNOLOGI

44% pekerja di seluruh dunia bersetuju untuk membenarkan majikan mereka menggunakan teknologi bagi memantau prestasi mereka di tempat kerja termasuk sensor dan peranti yang boleh dipakai, berbanding 31% yang tidak bersetuju. Namun, ramai pekerja tidak membenarkan majikan mengakses data peribadi mereka. 41% responden menyatakan mereka tidak membenarkan majikan mengakses data peribadi mereka termasuk profil media sosial, berbanding 35% yang membenarkan.

-PR NEWSWIRE