Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) yang merupakan agensi kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengambil langkah untuk mengurangkan khidmat tenaga kerja asing di dalam industri automotif demi memberi laluan kepada buruh tempatan melibatkan diri di dalam sektor berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari berkata, pihaknya komited untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada pekerja-pekerja tempatan yang berpotensi seandainya ia mampu dicapai sepenuhnya dengan sasaran sifar penggunaan buruh asing menjelang akhir tahun ini.
“Sebanyak 70,000 kekosongan yang wujud hasil pengurangan tenaga kerja asing dalam industri automotif itu nanti kami percaya akan diisi oleh pekerja tempatan.
“MARii mempunyai program latihan sijil profesional yang diterajui industri untuk melatih lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selama enam bulan meliputi tempoh sebulan latihan dalam kelas dan lima bulan latihan semasa kerja. Sebaik sahaja tamat latihan, mereka boleh terus bekerja dengan vendor,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian (MoA) dengan Victorious Step Sdn Bhd (VStep) di Shah Alam, baru-baru ini.