Golongan majikan diingatkan supaya tidak mendiskriminasikan golongan bekas banduan yang mencari kerja, malah perlu mengamalkan sikap terbuka untuk memberi mereka peluang membina kehidupan baru yang lebih terjamin dengan mengambil mereka bekerja.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, pengambilan bekas banduan sebagai pekerja merupakan salah satu langkah yang boleh mengatasi masalah pengangguran negara dan inisiatif tersebut telah mula dilaksanakan oleh beberapa kementerian yang lain termasuklah Kementerian Belia dan Sukan.

“Kita harap majikan akan memberi peluang kerana ini adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian berdasarkan kadar 3.3 peratus masalah pengangguran di Malaysia.

“Jadi, negara masih memerlukan pekerja dan saya berpendapat bahawa mana-mana bekas banduan perlu dibantu dengan memberi peluang kerjaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2019 di Dataran Putrajaya, semalam.

Tambah Kula, Kementerian Sumber Manusia turut akan membantu golongan tersebut dengan menyediakan latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada mereka sebelum bekerja.

Kula ketika menghadiri Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2019 (Kredit foto KSM).jpg