Majikan yang berhasrat menyertai Perkhidmatan Nasihat Majikan (EAS) yang diurus selia oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), boleh memohon inisiatif tersebut bermula 24 April ini, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurut beliau, kemudahan yang berjumlah kira-kira RM10 bilion tersebut akan membantu majikan dari segi pengurusan aliran tunai dan pengurangan kos operasi dalam jangka masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pasca-PKP untuk kemampanan perniagaan.
“Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang layak untuk menangguhkan caruman majikan KWSP.
“Saya berharap majikan akan mendapat sokongan yang sewajarnya daripada KWSP demi kelangsungan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Inisiatif EAS yang diumumkan kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dilihat berupaya membantu masalah aliran tunai golongan majikan berdasarkan pilihan penangguhan bayaran, penstrukturan, dan penjadualan semula sumbangan majikan kepada KWSP.