Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberi peringatan kepada semua pembayar cukai dalam kategori yang tidak menjalankan perniagaan agar mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) mereka bagi Tahun Taksiran (TT) 2019 selewat-lewatnya pada 30 Jun 2020.

LHDN dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyediakan senarai pelepasan cukai bagi TT 2019 untuk pembayar cukai individu bagi membantu mereka mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pelepasan-pelepasan cukai yang boleh dituntut ketika mengisi BNCP.

“Senarai pelepasan cukai tersebut boleh diakses di portal rasmi LHDN bagi kategori ‘Individu’ di bawah ‘Pelepasan Cukai’.

“Sehingga 15 Jun 2020, sebanyak 2,175,596 borang nyata cukai bagi TT2019 telah diterima oleh LHDNM daripada pembayar cukai dalam kategori yang tidak menjalankan perniagaan.

“Daripada jumlah tersebut, pengemukaan secara e-Filing adalah sebanyak 2,139,360 atau merangkumi 98.33 peratus dan selebihnya adalah pengemukaan secara manual iaitu borang kertas,” katanya.

Tambah LHDN, pemprosesan bayaran balik cukai terlebih bayar sentiasa menjadi keutamaan mereka dalam memastikan setiap pembayar cukai yang layak akan menerima bayaran balik cukai masing-masing dalam tempoh yang ditetapkan.

“Sehubungan itu, bagi membantu LHDN memproses setiap bayaran balik cukai terlebih bayar dengan lancar, adalah dinasihatkan agar semua pembayar cukai mengisi maklumat yang tepat serta terkini dalam BNCP mereka,” jelasnya.

LHDN-Gambar-hiasan-Kredit-LHDNM.jpg