Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan bahawa kenyataan lama mengenai pembayaran dividen KWSP sehingga umur 75 tahun yang baru-baru ini tersebar terutamanya melalui aplikasi mudah alih WhatsApp, adalah tidak lagi terpakai.

KWSP berkata, seperti yang diumumkan oleh pihaknya dalam satu kenyataan media bertarikh 3 November 2016, berkuatkuasa 1 Januari 2017, ahli yang memilih untuk mengekalkan sebahagian daripada simpanan mereka dalam akaun KWSP akan terus menerima bayaran dividen ke atas simpanan tersebut sehingga umur 100 tahun.

“Langkah ini diperkenalkan susulan pindaan ke atas Akta KWSP 1991, yang bertujuan membolehkan ahli yang memilih untuk mengekalkan simpanan di KWSP selepas persaraan untuk terus memanfaatkan gandaan dividen sehingga semua simpanan dikeluarkan oleh ahli.

“KWSP akan memaklumkan kepada ahli dan hanya akan memindahkan sebarang simpanan yang tidak dituntut apabila ahli berumur 100 tahun kepada Pendaftar Wang Tidak Dituntut.

“Sebarang tuntutan selepas pemindahan tersebut boleh dibuat melalui Pendafter Wang Tidak Dituntut,” katanya dalam satu kenyatan.

Tambah KWSP, ahli dinasihatkan supaya berwaspada terhadap maklumat tidak sahih yang dihebahkan melalui saluran media sosial, dan sentiasa mengesahkan sumber dan tarikh maklumat tersebut.

“Ahli juga dinasihatkan supaya tidak berkongsi atau mewawarkan maklumat yang tidak sahih.

“Ahli digalakkan untuk rujuk saluran komunikasi rasmi KWSP, kunjungi laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000 untuk mendapatkan maklumat sahih,” ujarnya.

-HR HUB

KWSP-Gambar-hiasan.jpg