Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang meneliti rancangan bagi memperkenalkan Pelan Tindakan Sumber Manusia Kebangsaan (NHRB) sebagai usaha memperkasakan pasaran buruh tempatan ketika negara kini sedang melangkah ke era Revolusi Perindustrian Keempat yang turut dikenali dengan Industry4WRD.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) KSM, Datuk Kua Abun berkata, kajian secara menyeluruh akan diadakan dengan pelaksanaan melibatkan perubahan dan peluang berdasarkan skop pekerjaan, kemahiran dan pembangunan sumber manusia dalam menjana produktiviti negara.

“Ia dijangka akan membuka jalan untuk membangunkan pelan pembangunan sumber manusia yang strategik dan komprehensif serta menjalankan analisis secara mendalam mengenai kecenderungan, corak dan isu berkaitan tiga rangka kerja iaitu tenaga kerja, tempat kerja dan pekerjaan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Sumber Manusia di Shaftsbury Asteria Cyberjaya, semalam.

Berucap mewakili Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran, beliau berkata, NHRB akan menilai kesan liberalisasi, globalisasi dan pendigitalan, e-dagang, perkembangan teknologi dan inovasi yang dibawa Industry4WRD terhadap ekonomi Malaysia dan implikasi terhadap guna tenaga rakyat tempatan, pekerja asing dan ekspatriat.

Kua-Abun-Kredit-foto-KSM.jpg