Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang menyemak semula Akta Kerja 1955 bagi menambah baik akta berkenaan pada masa depan yang melibatkan perkara-perkara seperti diskriminasi di tempat kerja, cuti paterniti dan tempoh waktu bekerja.
Menterinya, M. Kula Segaran berkata, kementeriannya turut akan meminda lima akta lain termasuklah Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan 1967 dengan siri perbincangan melibatkan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) serta Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telahpun diadakan.
“Berkenaan pindaan Akta Kerja, kementerian sudah mengadakan beberapa perbincangan dengan pihak berkepentingan dan kita sudah memperhalusinya.
“Susulan perbincangan itu, kementerian bercadang membuat beberapa perubahan dan sedang menunggu kelulusan Peguam Negara untuk diputuskan Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Industrial Harmoni Index di Geno Hotel Shah Alam, hari ini.
Pindaan akta yang terlibat akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober depan.