Kementerian Sumber Manusia (KSM) komited untuk mempelbagaikan usaha bagi terus meningkatkan peluang pekerjaan baharu melibatkan golongan belia selain melakukan kerjasama dengan kementerian-kementerian lain seumpama Karnival PenjanaKerjaya Belia 2020 yang diadakan, baru-baru ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kerjasama yang dilaksanakan kementeriannya bersama-sama Kementerian Belia dan Sukan melalui program tersebut adalah bagi menangani kadar hilang kerja daripada kalangan belia yang merekodkan lebih 62 peratus iaitu seramai 19,396 orang sehingga 20 November 2020 lalu.

“Berdasarkan rekod Kementerian Belia dan Sukan, kadar pengangguran belia telah meningkat kepada 9.0 peratus.

“Susulan Agenda Pemerkasaan Belia, kedua-dua kementerian komited untuk bekerjasama dalam isu yang melibatkan peluang pekerjaan, pewujudan pekerjaan-pekerjaan baharu, latihan kemahiran serta akses kepada dana dan kemudahan untuk belia,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Saravanan, KSM akan menggandakan usaha dalam melaksanakan program-program peluang pekerjaan bersama dengan rakan strategik demi mengurangkan kadar pengangguran terutamanya di kalangan belia di Malaysia.

“Kami juga akan melaksanakan beberapa inisiatif di bawah Belanjawan 2021 untuk mengurangkan kadar pengganguran dan merancakkan pasaran buruh negara,” ujarnya.

-HR HUB

Saravanan.jpg