Sistem pendidikan negara perlu bergerak seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) serta sesuai kepada keperluan tenaga kerja masa depan kerana revolusi perindustrian akan mewujudkan bentuk pekerjaan yang baharu, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata berdasarkan trend setakat ini, para penyelidik meramalkan IR4.0 memerlukan perubahan komprehensif dalam aspek utama pendidikan merangkumi kandungan, penyampaian, pedagogi dan struktur pengurusan pendidikan.

“Ia menuntut perubahan dalam kandungan bukan sahaja pendidikan teknikal tetapi juga pendidikan secara umum. Penekanan baharu perlu diberikan kepada kemahiran tertentu dan kandungan baharu perlu ditambah. Oleh itu, program pendidikan baharu perlu dibangunkan untuk memenuhi permintaan yang berubah.

“Dalam era IR4.0, pekerjaan yang memerlukan kreativiti cenderung untuk kekal. Tanpa mengambil kira disiplin, Pendidikan 4.0 mesti dapat menghasilkan graduan sangat kreatif dengan kemampuan untuk berfikir secara kritis,” katanya berucap merasmikan Konvensyen Perburuhan Sabah (Konpens) 2019 di Kota Kinabalu, hari ini.

Kira-kira 600 pelajar dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta pusat latihan dan kemahiran di Sabah menghadiri konvensyen berkenaan, dan majils perasmian hari ini turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah Kamal Pardi serta Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah Prof Madya Datuk Dr Abdul Kadir Rosline. – BERNAMA

Mahfuz-Omar-Kredit-foto-KSM.jpg