Kementerian Sumber Manusia (KSM) berhasrat untuk memperkenalkan akta baharu yang akan menyelaras fungsi dan peranan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) daripada dibayangi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).
Menterinya, M. Kula Segaran berkata, idea bagi perlaksanaan tersebut kini masih di peringkat kajian dan perbincangan sebelum ia diusulkan ke dalam mesyuarat Kabinet kira-kira dua bulan lagi.
“Sudah tiba masanya peranan NIOSH diasingkan daripada DOSH dan menjadi badan bebas sekaligus dapat memainkan peranannya dengan lebih mustahak.
“Kementerian sudah melakukan analisis dan berpendapat satu akta baharu perlu diwujudkan berkaitan NIOSH. Sebaik sahaja kajian siap, saya akan bawa perkara ini kepada Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri NIOSH 2019 di Menara NIOSH Bangi, baru-baru ini.