Kementerian Sumber Manusia (KSM) berhasrat memperluaskan skim-skim perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada golongan petani, penoreh dan nelayan bagi menjamin keselamatan golongan tersebut ketika bekerja di lapangan masing-masing.
Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, manfaat caruman PERKESO yang diterima golongan pekerja lain turut wajar diberikan kepada para petani, penoreh dan nelayan memandangkan persekitaran mereka di tempat kerja juga terdedah kepada risiko kemalangan serta perkara-perkara yang tidak diingini.
“Ianya (caruman PERKESO) wajar kerana golongan itu berisiko tinggi mendapat kemalangan ketika bekerja,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada waris mangsa lemas bersama Skuad Prihatin Negeri Kelantan di Machang, baru-baru ini.
Jelas Mahfuz, golongan berkenaan akan ditawarkan caruman yang sesuai dengan pendapatan masing-masing melibatkan empat kategori pilihan iaitu serendah RM13 sehingga RM452 sebulan.