Kementerian Sumber Manusia (KSM) menjelaskan bahawa Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah seliaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan diperluaskan pada sektor-sektor informal yang lain bermula tahun depan.

Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata SKSPS akan diperluaskan kepada mereka yang terlibat di dalam sektor pertanian, perikanan, perniagaan sendiri serta penggiat seni yang bekerja sendiri, yang dilihat memanfaatkan golongan petani dan nelayan.

“Buat masa ini, SKSPS hanya dikuatkuasakan terhadap pemandu teksi, kereta sewa, e-hailing dan pemandu bas… bermula tahun depan akan diperluaskan buat pemain industri dari empat sektor ini supaya manfaatnya dapat dirasai oleh semua orang yang terlibat di dalamnya.

“Manakala dokumen bagi perluasan sektor ini sedang dalam penelitian oleh Pejabat Peguam Negara, dan ketika ini mereka sedang menyediakan arahan untuk dilaksanakan oleh kementerian tidak lama lagi,” katanya pada sidang media Majlis Sambutan Deepavali PERKESO di MySkills Foundation Kalumpang, semalam.

-BERNAMA