Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bersedia menerima permohonan daripada majikan untuk insentif pengambilan pekerja di bawah Program PenjanaKerjaya melalui Sistem PenjanaKerjaya, yang telah dibuka sejak 1 Julai 2020.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, semua majikan yang mempunyai kekosongan jawatan digesa untuk menggunakan platform yang disediakan kerajaan bagi memperolehi insentif pengambilan pekerja tempatan.

“Sementara itu, pencari kerja pula akan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai melalui program ini.

“Inisiatif kerajaan ini bertujuan untuk meningkatkan pewujudan pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Tambah Saravanan, insentif pengambilan pekerja ini merangkumi bantuan kewangan untuk majikan yang menggajikan lepasan sekolah, siswazah, penganggur dan pekerja yang diberhentikan kerja serta perantis.

“Di bawah skim MYApprentice, majikan layak mendapat insentif pengambilan sebanyak RM600 seorang jika menggajikan perantis.

“Sementara itu, di bawah skim HireMalaysia, majikan yang menggajikan penganggur berumur bawah 40 tahun akan mendapat insentif sebanyak RM800 bagi setiap pekerja; manakala mereka yang menggajikan penganggur berumur antara 40 hingga 60 tahun atau Orang Kelainan Upaya (OKU) layak mendapat insentif sebanyak RM1,000 bagi setiap pekerja.

“Semua insentif ini akan diberikan selama enam bulan kepada majikan yang layak,” jelasnya.

Saravanan-Kredit-foto-PERKESO.jpg