Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyambut baik cadangan untuk memperkenalkan cuti paterniti selama tujuh hari melibatkan sektor swasta dan mendedahkan akan membentangkan perkara tersebut ke Kabinet selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.
Menterinya, M. Kula Segaran berkata, cuti khas kepada golongan suami yang bekerja di sektor swasta bagi menguruskan isteri bersalin dianggap rasional memandangkan syor sedia ada hanya melibatkan sektor awam dengan peruntukan tiga hari boleh dikaji semula Kabinet.
“(Jika) lebih dari tiga hari, ini akan dipertimbangkan. Saya akan bentangkan perkara ini kepada Kabinet untuk tindakan perlu (selanjutnya).
“Kami amat yakin bahawa ini merupakan hala tuju yang betul, ia patut dibentangkan dan dapatkan kelulusan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menerima petisyen cuti paterniti tujuh hari oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) di perkarangan bangunan Parlimen, hari ini.
Sebanyak 39,340 tandatangan telah berjaya dikumpul melalui petisyen pada sesi penyerahan tersebut yang turut dihadiri Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.