Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah menjalinkan kolaborasi strategik dalam pembangunan kapasiti golongan sasar khususnya golongan usahawan mikro dan tidak formal dengan permeteraian tiga memorandum persefahaman (MoU).

Di bawah kolaborasi strategik melibatkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), PROTEGE, TEKUN Nasional, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) ini, golongan usahawan tempatan dan tidak formal akan diberi peluang meningkatkan kebolehan dan keupayaan diri melalui penyediaan program ‘reskilling’ dan ‘upskilling’, meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui pemadanan graduan bersama majikan serta pemanjangan pilihan caruman ke Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi melindungi golongan ini dari risiko kehilangan mata pencarian.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pembukaan semula sektor ekonomi dengan pematuhan kepada norma-norma baharu memerlukan golongan tersebut meningkatkan keupayaan dan mengadaptasi kepada penggunaan teknologi maklumat dan digitalisasi.

“Golongan ini juga merupakan golongan yang paling terdedah kepada risiko apabila tidak mempunyai sebarang skim perlindungan sosial apabila sekiranya terlibat di dalam kemalangan atau bencana, golongan ini terutamanya yang bekerja tidak formal akan terputus mata pencarian.

“Justeru, perlaksanaan kolaborasi strategik ini dapat membantu golongan usahawan tempatan dan tidak formal memperlengkapkan diri dengan kemahiran dan kepakaran yang diperlukan, serta melindungi mereka daripada risiko kehilangan mata pencarian,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Menteri MEDAC Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerjasama berkenaan diharap dapat membantu meringankan beban serta meningkatkan kesedaran untuk usahawan terlibat mendapatkan skim perlindungan yang sewajarnya.

“Kebanyakan golongan usahawan mikro serta informal yang bekerja sendiri dilihat tidak mempunyai sebarang skim perlindungan.

Lebih membimbangkan, sebahagian daripada mereka ini menjalankan pekerjaan yang sering terdedah kepada risiko kemalangan atau bencana, contohnya pemandu teksi dan nelayan,” ujarnya.

-HR HUB

KSM-MEDAC.jpg