Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menjalinkan kerjasama dengan platform pekerjaan terkemuka Malaysia, JobStreet, bagi membolehkan pelaksanaan insentif latihan eksklusif yang bertujuan mendorong syarikat untuk menggaji bakat baharu.

Inisiatif baharu ini akan dilaksanakan menerusi HRD Corp Placement Centre (HPC), portal maya sehenti yang menyediakan peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan untuk semua rakyat Malaysia.

Usaha ini dilaksanakan khusus untuk mencipta peluang pekerjaan baharu di samping membantu syarikat untuk menguruskan keseluruhan kos pengambilan pekerja sepanjang tempoh kritikal demi memastikan kesinambungan dan kelangsungan perniagaan mereka.

Di bawah inisiatif ini, majikan boleh menuntut sehingga RM3,600 (RM600 x 6 bulan) untuk elaun latihan di tempat kerja, yang akan membantu mengurangkan jumlah kos pengambilan pekerja baharu terutamanya dari kalangan graduan dan lepasan sekolah yang tidak bekerja.

Insentif ini adalah eksklusif untuk pengambilan pekerja yang dibuat melalui platform JobStreet.

Di samping itu, majikan juga boleh mengemukakan tuntutan pekerja baharu tanpa had bilangan pekerja menerusi inisiatif ini.

Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood berkata, pihaknya teruja dapat bekerjasama dengan JobStreet untuk memperluaskan jangkauan dan sokongan HPC kepada lebih banyak majikan serta bakal pekerja.

“Di HRD Corp, kami komited untuk memastikan setiap rakyat Malaysia terlatih dan boleh digajikan.

“Kami percaya inisiatif ini bukan sahaja dapat membantu kami mencapai matlamat tersebut, bahkan ia akan menggalakkan para majikan untuk membuka peluang pengambilan baharu, latihan serta pengekalan pekerja ketika mereka sendiri sedang berusaha untuk memulihkan perniagaan mereka untuk tahun akan datang,” katanya.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai insentif latihan eksklusif JobStreet, termasuk prosedur penyerahan tuntutan, sila kunjungi: https://www.jobstreet.com.my/hrd-corp-incentive/.

-HR HUB