Golongan suri rumah yang berhasrat melakukan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) perlu menunggu sekurang-kurangnya tempoh setahun lagi sebelum ia dilaksanakan oleh kerajaan, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.
Menurutnya, kerajaan tetap akan melaksanakan perkara tersebut seperti yang telah dijanjikan namun perincian yang lebih mendalam sedang dilakukan bagi merealisasikannya.
“Suri rumah tidak dikategorikan sebagai pekerja tetapi mereka tetap terdedah kepada risiko kemalangan seperti ketika menghantar anak ke sekolah dan memasak di rumah.
“Kita akan selesaikan dulu Caruman Sukarela i-Suri di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan selepas itu kita uruskan pula perlindungan suri rumah menerusi PERKESO,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Kubang Lintah Kedah, kelmarin.