Pengeluaran wang dari Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan akan dibenarkan kepada pencarum yang terkesan dengan situasi penularan wabak Covid-19 di negara ini ketika ini, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, pelepasan khas yang tertakluk kepada ahli KWSP berumur bawah 55 tahun itu akan melibatkan sejumlah pengeluaran dengan anggaran bernilai RM40 bilion kepada 12 juta pencarum.
“Saya berharap inisiatif ini dan juga pengurangan kadar caruman KWSP pekerja sebanyak empat peratus yang berkuatkuasa pada bulan April 2020 akan membolehkan para pekerja mempunyai lebih wang dalam poket masing-masing untuk membeli barang-barang keperluan harian.
“Nasihat saya kepada anda semua yang akan menerima manfaat ini, gunalah wang ini sebaik mungkin. Beli barang-barang yang perlu sahaja dalam waktu yang agak sukar ini…
“Walaupun jumlahnya mungkin tak seberapa, tetapi inilah wang hasil titik peluh anda sendiri yang sepatutnya digunakan untuk hari tua. Tetapi kerajaan benarkan wang ini digunakan pada masa ini memandangkan ada dalam kalangan saudara saudari yang memerlukan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, semalam.