Seramai 25,000 usahawan TEKUN Nasional disasarkan mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) menerusi Kempen Mencarum PERKESO Usahawan TEKUN yang dilancarkan baru-baru ini.

Kempen yang merupakan hasil kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, PERKESO dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi agensinya, TEKUN Nasional ini bermatlamat meningkatkan kesedaran golongan usahawan mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial, di samping menggalakkan mereka mencarum dengan PERKESO.

Kempen ini juga merupakan satu inisiatif proaktif untuk memastikan jaringan perlindungan keselamatan sosial semakin diperluaskan kepada golongan Orang Bekerja Sendiri (OBS), khususnya dalam kalangan usahawan di Malaysia.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar berkata, seramai 16,830 orang usahawan TEKUN setakat ini telah mencarum di bawah SKSPS dan lebih ramai lagi dijangka turut mencarum.

“Saya juga berharap TEKUN Nasional dapat memikir dan mempertimbangkan bagaimana semua usahawan TEKUN dapat diwajibkan untuk mencarum dengan PERKESO sepanjang tempoh pembiayaan, pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan memaklumkan, kementeriannya menyambut baik dan menghargai sokongan yang dizahirkan oleh MEDAC menerusi TEKUN Nasional untuk mendaftar dan mencarumkan para usahawan mereka seperti pengusaha, penjaja dan peniaga kecil dengan SKSPS PERKESO.

“Saya juga yakin bahawa usaha untuk memberikan perlindungan sosial kepada mereka ini bukan sahaja akan disambut baik oleh para usahawan TEKUN, malah turut akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka dan insan yang mereka sayangi sentiasa terjaga dan terpelihara,” ujarnya.

Sejak 1 Jun 2017, PERKESO menyediakan SKSPS untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan.

-HR HUB