Sebanyak 659 jawatan kosong ditawarkan khusus buat golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di Mini Karnival Penjana Kerjaya Kementerian Sumber Manusia Untuk OKU, anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
PERKESO dalam kenyataan berkata, karnival pekerjaan yang berlangsung selama sehari di Wisma PERKESO Kuala Lumpur semalam merupakan salah satu inisiatif PERKESO untuk membantu golongan OKU mendapatkan pekerjaan melalui sesi temu duga terbuka, sekali gus meningkatkan penyertaan OKU dalam pasaran pekerjaan tempatan.
“Pelbagai aktiviti turut mengisi agenda penganjuran Mini Karnival PenjanaKerjaya ini seperti Bengkel Kebolehpekerjaan bagi memberi pendedahan awal dan tips menghadapi proses temu duga kepada calon-calon.
“Selain itu, PERKESO turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya dan membuka kaunter pendaftaran Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MYFutureJobs.
“Seramai sembilan majikan mengambil bahagian dalam temu duga terbuka ini dengan tawaran gaji di antara RM1,200 hingga RM2,000 di beberapa lokasi di seluruh negara. Antaranya ialah McDonald’s Malaysia, Alliance MEP Sdn Bhd, LYF Electronics Trading, Genesis Supplies Sdn Bhd dan BPLaz (M) Sdn Bhd,” katanya.
Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed turut hadir memberi sokongan dengan meluangkan masa bersama pencari kerja OKU dan menyampaikan sijil penghargaan kepada majikan-majikan yang menyertai karnival ini.
Pada masa yang sama, beliau turut menggesa majikan yang menyertai karnival ini dan yang di luar sana untuk memohon Insentif Pengambilan Pekerja di bawah Program PenjanaKerjaya 2.0 apabila menggajikan pekerja tempatan.
-HR HUB