Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah memulakan siasatan lanjut kes kemalangan melibatkan struktur ‘gantry launcher’ yang jatuh di tapak Projek SUKE, Pakej CA3, yang berlaku pada 22 Mac 2021 baru-baru ini.

JKKP dalam kenyataan berkata, siasatan melibatkan pemerhatian dan penilitian di lokasi kejadian, mengambil keterangan saksi dan melakukan analisis kejuruteraan forensik bagi melengkapkan proses siasatan dengan proses siasatan dijangka dapat dilengkapkan sepenuhnya dalam tempoh sebulan.

“Tindakan perundangan lanjut akan diambil berdasarkan kepada hasil siasatan terperinci. Antara tindakan yang boleh diambil termasuklah tindakan pendakwaan menurut peruntukan seksyen 15 dan 17, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, iaitu kewajipan majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja, dan keselamatan dan kesihatan orang selain pekerjanya, yang terjejas akibat aktiviti kerja yang dijalankan.

“Penalti maksimum bagi kesalahan di bawah kedua-dua seksyen tersebut ialah denda tidak melebihi RM50,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Pada masa yang sama, JKKP turut menegaskan bahawa pihaknya memandang serius setiap kemalangan di tempat kerja sama ada melibatkan pekerja mahupun orang awam.

“Majikan mempunyai kawalan dan bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengambil langkah kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan dan kesihatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan atau penyakit pekerjaan.

“JKKP ingin mengingatkan kepada semua pihak berkepentingan di dalam industri pembinaan termasuk klien, pereka bentuk dan kontraktor untuk menitikberatkan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan seawal daripada peringkat reka bentuk projek pembinaan,” ujarnya.

-HR HUB