HRXpert perkenal Talian Kecemasan HR bantu majikan tangani isu tempat kerja

Oct 22, 2026 | HR News

Majikan kini boleh mendapatkan panduan awal secara percuma berkaitan isu pengurusan pekerja menerusi Talian Kecemasan HR yang diperkenalkan HRXpert bagi membantu perniagaan menangani permasalahan di tempat kerja dengan lebih berkesan dan mematuhi undang-undang buruh.

Inisiatif itu khususnya menyasarkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang tidak mempunyai jabatan sumber manusia (HR) sendiri atau memerlukan panduan profesional dalam mengendalikan urusan berkaitan pekerja.

Antara isu yang diliputi menerusi talian itu termasuk masalah disiplin, ketidakhadiran pekerja, prestasi kerja, penggajian, penamatan perkhidmatan serta prosedur yang perlu dipatuhi majikan sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap pekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif HRXpert, Dr (HC) Norazlina Abdullah berkata, kekurangan pemahaman mengenai prosedur dan peraturan pekerjaan boleh mendedahkan majikan kepada pertikaian serta tindakan undang-undang.

Beliau berkata, meskipun majikan mungkin menyedari salah laku yang dilakukan pekerja, tindakan disiplin perlu dilaksanakan mengikut prosedur sewajarnya bagi memastikan keadilan dan ketelusan terpelihara.

“Menerusi Talian Kecemasan HR, majikan boleh mendapatkan panduan awal sebelum membuat keputusan, sekali gus membantu mengurangkan risiko kesilapan dalam mengendalikan isu berkaitan pekerja,” katanya.

Bagi memperkukuh kepakaran dalam inisiatif berkenaan, HRXpert melantik bekas pengarah di ibu pejabat Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Tuan Haji Hussain Ali Meah, sebagai penasihat utama.

Pengalaman beliau dalam bidang undang-undang pekerjaan dan perhubungan perusahaan dijangka meningkatkan mutu panduan yang diberikan kepada majikan dalam menguruskan isu di tempat kerja.

Selain panduan awal percuma, HRXpert turut menawarkan khidmat perundingan profesional bagi kes yang memerlukan penilaian lanjut, termasuk semakan dokumen, penyediaan surat rasmi dan prosiding disiplin.

Sebarang caj bagi perkhidmatan berkenaan akan dimaklumkan terlebih dahulu, bergantung pada keperluan serta skop kes.

Norazlina berkata, pengurusan sumber manusia yang berkesan bukan sekadar memastikan pekerja mematuhi peraturan tempat kerja, malah turut melindungi kepentingan perniagaan dan mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni.

Bagaimanapun, talian berkenaan berfungsi sebagai saluran panduan awal dan tidak menggantikan nasihat undang-undang khusus. Maklum balas yang diberikan juga tertakluk kepada waktu operasi HRXpert.

Majikan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi 019-404 3821 atau 012-783 6774, atau mengemukakan pertanyaan menerusi e-mel inquiry@hrxpert.com.my.

– HR HUB