Kabinet baru-baru ini telah bersetuju terhadap cadangan untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi berkonsepkan motosikal, namun jemaah menteri sebulat suara untuk memperhalusi kajian dari sudut undang-undang terlebih dahulu sebelum ia mula beroperasi dengan jangkaan pada tahun hadapan.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, usaha untuk merealisasikan hasrat tersebut telahpun dimulakan kementeriannya bersama-sama kementerian yang lain termasuklah Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pembangunan Usahawan sebagai langkah terbaik bagi mewujudkan ekosistem pekerjaan yang sihat dalam kalangan masyarakat tempatan terutamanya belia.
“Ramai yang beranggapan ini bukan cara untuk menjadikan Malaysia negara maju. Tetapi ekosistem GoJek sebenarnya lebih besar daripada sekadar cara pengangkutan. Jangan lupa bahawa terdapat kira-kira 500,000 belia yang menganggur dan majoriti mereka kurang berkemampuan,” katanya kepada pemberita pada suatu majlis forum di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah Syed Saddiq, GoJek juga dipercayai mampu mewujudkan persaingan sihat antara syarikat yang pernah menawarkan khidmat e-hailing bermotosikal di negara ini.
“Kita juga perlu membantu industri tempatan dan maka sebab itulah tiada pihak yang boleh memonopoli ini (teksi motosikal). Kita mahu lihat Dego Ride, GoJek, Grabbike dan lain-lain bersaing untuk kepentingan dan manfaat pengguna tempatan,” katanya.