Kementerian Sumber Manusia menjelaskan bahawa cadangan penyeragaman untuk menaikkan gaji minimum sebanyak RM1,100 masih berada di peringkat kajian dengan pelaksanaannya dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh dua tahun terdekat.

Menterinya, M. Kula Segaran berkata, kementeriannya tidak mempunyai autoriti untuk menentukan pelaksanaan tersebut memandangkan ia hanya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Teknikal Perundangan Gaji Negara.

“Ramai orang tidak faham tentang hal gaji kerana ia sebenarnya ditentukan oleh sebuah jawatankuasa. Menteri tidak ada kuasa.

“Sebelum pelaksanaan gaji minimum RM1,100, semua aspek perbincangan sudah diadakan, tetapi mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, ia akan dikaji semula dan pelaksanaannya bukan sekarang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Satria 4.0 dan TVET Seminar 2019 di Institut Latihan Perindustrian Ipoh, semalam.

Kula Segaran.jpg