Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelancaran e-Payroll, yang merupakan penambahbaikan terhadap portal i-Akaun (Majikan), bagi membantu dan mempermudahkan urusan-urusan tanggungjawab berkanun majikan, termasuk caruman KWSP, secara digital.
KWSP berkata, Sistem e-Payroll memberikan pengalaman yang selamat dan lancar untuk majikan, dengan penekanan terhadap pengiraan automatik bagi pemotongan dan caruman berkanun kepada badan-badan berkanun.
“Inisiatif ini adalah sejajar dengan objektif KWSP untuk membantu majikan, khususnya perusahaan kecil sederhana (PKS), memenuhi tanggungjawab mereka terhadap pekerja, di samping melancarkan operasi syarikat.
“Perkhidmatan ini juga dapat membantu majikan menyimpan rekod pekerja mereka secara digital, termasuk gaji.
“Dengan ini, e-Payroll dapat meningkatkan kecekapan proses dengan mengurangkan masa yang diperlukan untuk menguruskan aktiviti-aktiviti yang berkaitan kewajipan berkanun,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, Perkhidmatan e-Payroll ini dibangunkan khas untuk membantu PKS yang menggunakan i-Akaun (Majikan) yang tidak mempunyai sistem penggajian atau kemampuan kewangan untuk menggunakannya.
“Kami sedar akan peranan digitalisasi yang semakin penting dalam kehidupan kita, malah situasi pandemik COVID-19 telah mendorong kita untuk mengadaptasi teknologi digital dengan pantas dan lebih tepat.
“Di KWSP, kepentingan ahli sentiasa diutamakan dalam setiap pendekatan yang kami ambil, di samping inisiatif berterusan dalam meningkatkan tahap perkhidmatan yang memberi manfaat kepada majikan dan pekerja,” ujarnya.
Sistem e-Payroll ini dibangunkan dengan kerjasama dan diperakui oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp).
-HR HUB