Career Discovery Day UNIQLO beri pendedahan industri, bimbingan kerjaya

Nov 24, 2026 | HR News

UNIQLO Malaysia buat julung kalinya menganjurkan Career Discovery Day bagi memberi pendedahan industri, bimbingan praktikal dan peluang kerjaya kepada golongan muda yang ingin membina masa depan dalam sektor peruncitan.

Program yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu menghimpunkan 430 pelajar dan pencari kerja untuk mendapatkan maklumat mengenai laluan kerjaya serta kemahiran yang diperlukan bagi menghadapi dunia pekerjaan.

Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha UNIQLO untuk memperkasa bakat tempatan, selain membantu peserta memahami potensi pembangunan profesional dalam syarikat peruncitan pakaian global itu.

Ketua Pegawai Operasi UNIQLO Malaysia, Yoshitake Wakakuwa berkata, kejayaan dalam kerjaya tidak semestinya bergantung kepada satu laluan tertentu, sebaliknya memerlukan kesediaan untuk terus belajar, meneroka pengalaman baharu dan menerima cabaran.

Beliau berkata, program itu bertujuan meningkatkan keyakinan golongan muda dalam menentukan hala tuju kerjaya masing-masing menerusi perkongsian pengalaman secara langsung daripada warga UNIQLO.

Peserta turut berpeluang mengikuti sesi panel kepimpinan yang menampilkan pemimpin syarikat itu, selain mendengar pengalaman calon pengurusan UNIQLO mengenai perjalanan pembangunan kerjaya mereka.

Perkongsian berkenaan merangkumi pengalaman pembelajaran di tempat kerja, kesediaan memikul tanggungjawab lebih besar serta peluang kemajuan melalui program pembangunan berstruktur syarikat.

Selain sesi perkongsian, program itu menyediakan khidmat konsultasi kerjaya dan semakan resume bagi membantu peserta memperkemas dokumen permohonan pekerjaan serta meningkatkan keupayaan mereka memperkenalkan diri kepada bakal majikan.

Kemudahan studio fotografi profesional turut disediakan bagi membolehkan peserta mendapatkan gambar untuk profil kerjaya, manakala ruang jaringan memberi peluang kepada mereka berinteraksi dengan kakitangan UNIQLO dan peserta lain.

UNIQLO Malaysia merancang menjadikan Career Discovery Day sebagai program tahunan bagi memperluas akses golongan muda kepada bimbingan kerjaya dan peluang pembangunan profesional.

Inisiatif itu turut mengetengahkan potensi sektor peruncitan sebagai ruang membina kemahiran perniagaan dan kepimpinan, selain membuka peluang kepada pekerja untuk berkembang ke peringkat lebih tinggi, termasuk kerjaya antarabangsa.

Melalui program berkenaan, UNIQLO berharap lebih ramai bakat muda Malaysia dapat mengenal pasti potensi diri, membuat keputusan kerjaya dengan lebih yakin serta mempersiapkan diri untuk menjadi pemimpin perniagaan global pada masa depan.

-HR HUB

Career-Discovery-Day-UNIQLO.jpg