Kementerian Sumber Manusia (KSM) bercadang untuk membentuk sebuah bandar yang berkonsepkan integrasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan penglibatan universiti, industri dan pusat penjanaan inovasi di Tanjung Malim, Perak sebagai usaha memperkasakan bidang TVET.
Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, perancangan bandar yang berkeluasan dengan anggaran 24.28 hektar tersebut bagaimanapun akan dinilai berdasarkan perkembangan program Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) melibatkan Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Malaysia Pahang.
“Cadangan pembinaan universiti TVET baharu dilontarkan kepada Menteri Sumber Manusia (Kula Segaran) dan beliau memberi respons positif kerana melihat ia sebagai satu inisiatif positif selain kementerian mempunyai tanah kosong di Tanjung Malim.
“Saya fikir lokasi tersebut sangat strategik kerana adanya Proton, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan lain-lain. Ia boleh menjadi satu bandar hebat dari aspek akademik, kemahiran dan industri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kerjasama Staretgik Artikulasi Program Diploma Kemahiran dan Vokasional ke Ijazah Sarjana Muda Teknologi dan Jerayawara Program Sarjana Muda Teknologi di MTUN Melaka, baru-baru ini.