Amerika Syarikat (AS) menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama dengan negara anggota ASEAN dalam bidang teknologi kecerdasan super (superintelligence), yang dilihat mampu membawa perubahan besar kepada ekonomi dan pembangunan manusia.
Presiden Donald Trump berkata, teknologi berkenaan bukan sahaja berupaya merangsang pertumbuhan ekonomi, malah berpotensi menghasilkan peluang pekerjaan baharu serta memperluas kemajuan dalam penyelidikan saintifik dan perubatan.
Beliau menyampaikan tawaran itu ketika berucap pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di Filipina pada Selasa, sambil mengalu-alukan penyertaan negara-negara rantau ini dalam membangunkan keupayaan teknologi masa hadapan.
Trump berkata, AS mahu bekerjasama dengan negara yang mempunyai aspirasi untuk memperkukuh sektor teknologi dan memanfaatkan peluang ekonomi yang terhasil daripada perkembangan tersebut.
Beliau turut menyifatkan AS sebagai peneraju dunia dalam pembangunan ekosistem kecerdasan super, dengan Washington berhasrat mengekalkan kelebihan itu.
Menurutnya, teknologi berkenaan berpotensi membawa kesan yang lebih besar berbanding kemunculan internet dan Revolusi Perindustrian, namun penggunaannya memerlukan pendekatan yang berhati-hati.
Sidang kemuncak berkenaan turut dihadiri pemimpin dan wakil daripada kesemua 11 negara anggota ASEAN, dengan Malaysia diwakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump turut memberi perhatian kepada potensi kerjasama ekonomi dalam sektor mineral kritikal, unsur nadir bumi dan magnet, yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran AS.
Beliau juga mengetengahkan projek pembangunan saluran paip gas asli cecair (LNG) di Alaska dengan penglibatan pelaburan Korea Selatan, yang dijangka membuka peluang eksport tenaga ke negara-negara sekitar Lautan Pasifik.
Trump berkata, projek itu berpotensi menyumbang kepada penurunan kos tenaga dan meningkatkan keselamatan bekalan, selain menekankan kepentingan perjanjian serantau dalam sektor tenaga, mineral kritikal dan teknologi.
Beliau turut mengulangi komitmen AS untuk menyokong kedaulatan, kemajuan dan kemakmuran negara-negara rakan di rantau berkenaan.
Trump sebelum ini menghadiri mesyuarat pertama Dialog Keselamatan Segi Empat (Quad) dalam tempoh dua tahun, membabitkan AS, Australia, India dan Jepun.
Beliau dijadual meneruskan lawatan ke Shenzhen, China, bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2026.
-HR HUB
