Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) sedang mengkaji semula skim latihannya bagi memperkukuh pembangunan tenaga kerja serta memastikan program peningkatan kemahiran terus memenuhi keperluan industri yang sentiasa berubah.
Kajian penjajaran semula itu bertujuan meningkatkan keberkesanan penggunaan levi latihan selain memperluas akses kepada peluang peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) kepada lebih ramai pekerja merentas sektor.
Antara fokus utama ialah memberi penekanan lebih besar kepada program latihan yang menghasilkan peningkatan kemahiran secara praktikal dan boleh diukur, termasuk kelayakan profesional yang diiktiraf, pensijilan industri serta latihan khusus mengikut keperluan pekerjaan.
HRD Corp turut meneliti potensi memperluas bantuan latihan menerusi biasiswa pembangunan kerjaya dan skim latihan berkaitan pekerjaan bagi meningkatkan keupayaan pekerja, peluang kemajuan kerjaya serta potensi pendapatan, selaras dengan dasar gaji negara.
Selain itu, struktur skim latihan sedia ada akan dinilai bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan atau penyusunan semula supaya lebih responsif terhadap keperluan industri dan dapat dimanfaatkan oleh kumpulan pekerja yang lebih luas.
Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz berkata, usaha itu mencerminkan komitmen organisasi berkenaan untuk memperkukuh peranan asalnya seperti yang digariskan dalam Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001.
Beliau berkata HRD Corp mahu memastikan latihan yang dibiayai melalui levi majikan mampu memberikan hasil bermakna dalam pembangunan kemahiran pekerja, selain membantu majikan membangunkan keupayaan tenaga kerja masing-masing.
Menurutnya, pandangan majikan, penyedia latihan dan persatuan industri amat penting bagi membentuk kerangka latihan yang lebih berkesan serta memenuhi keperluan sebenar pasaran pekerjaan.
Sesi libat urus yang bermula pada Ogos lepas dan dijadual berlangsung sehingga penghujung 2026 itu telah melibatkan lebih 500 pihak berkepentingan setakat ini.
Inisiatif berkenaan turut menyokong Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta aspirasi negara untuk mencapai 35 peratus tenaga kerja berkemahiran menjelang 2030.
Pihak berkepentingan boleh meneliti cadangan penambahbaikan dan mengemukakan maklum balas menerusi platform konsultasi HRD Corp di https://hrdcorp.gov.my/training-framework-review.
Dalam perkembangan berasingan, HRD Corp akan mengekalkan tempoh penghantaran permohonan geran awal sedia ada sepanjang 2027, iaitu sekurang-kurangnya tiga hari sebelum program latihan awam dan 14 hari bagi program latihan dalaman.
Tempoh berkenaan akan dinilai semula selepas sistem pengesahan kendiri digital organisasi itu siap pada 2028.
-HR HUB
