Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyambut baik Belanjawan 2024 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini. Belanjawan 2024 merupakan langkah awal melibatkan reformasi dasar dalam usaha Malaysia ke arah mencapai Ekonomi MADANI.
MPC mempunyai peranan penting bagi menjayakan Belanjawan 2024, khususnya dalam mencapai pertumbuhan produktiviti 3.8 peratus setahun seiring dengan matlamat Ekonomi MADANI. MPC berperanan meningkatkan produktiviti dan daya saing bagi memudahkan urusan perniagaan ke arah meningkatkan ekonomi negara dan menjadikan Malaysia destinasi utama pilihan pelabur.
Menurut Zahid Ismail, Ketua Pengarah MPC, “Peranan MPC perlu diperkukuhkan dengan pindaan Akta MPC 1966 bagi memastikan pertumbuhan produktiviti negara kekal berada 3.8 peratus setahun seperti disasarkan dalam Kajian Separuh Penggal RMKe-12 dan daya saing negara dilonjakkan ke tangga 12 selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI.”
Inisiatif untuk memacu produktiviti termasuklah galakan kepada syarikat untuk meningkatkan produktiviti perniagaan melalui automasi dan pendigitalan dan meningkatkan kemahiran bakat.
Belanjawan 2024 juga melibatkan inisiatif MPC bagi mengekang kekurangan bakat tempatan dan ketidakpadanan kemahiran, program Academy in Industry yang sedang dilaksanakan untuk menyediakan kemahiran sambil bekerja dalam tempoh sehingga 18 bulan dengan peruntukan sebanyak 70 juta ringgit.
“Selain daripada itu, inisiatif peningkatan produktiviti melalui reformasi penerimagunaan teknologi turut dilaksanakan bagi menyediakan akses kepada peniaga untuk membangunkan penyelesaian automasi proses serta mengurangkan kos operasi perniagaan melalui teknologi digital,” tambahnya.
Secara keseluruhan, MPC percaya inisiatif-inisiatif yang digariskan dalam Belanjawan 2024 dapat menjadi langkah awal dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan darjat hidup rakyat, seperti yang dihasratkan dalam Ekonomi MADANI.
Dengan memberi fokus kepada strategi untuk mencapai pertumbuhan produktiviti yang disasarkan, MPC komited untuk menyumbang kepada usaha menjayakan Belanjawan 2024 khususnya, dan Ekonomi MADANI umumnya.
-HR HUB