Seramai 153 orang pekerja bukan eksekutif SME Bank bakal menerima manfaat apabila bank tersebut secara rasmi telah memperbaharui Perjanjian Kolektif (CA) dengan Kesatuan Sekerja Komersial Kebangsaan (NUCW) yang mewakili Kesatuan Sekerja SME Bank bagi tempoh Julai 2019 hingga Jun 2022.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr. Aria Putera Ismail berkata, “Majlis pada hari ini (kelmarin) menunjukkan satu kerjasama dan persefahaman yang erat antara pihak bank dan ahli kesatuan sekerja.

“Penambahbaikan yang dimasukkan di dalam CA ini ialah kenaikan gaji pokok, semakan semula faedah perubatan dan kemasukan ke hospital, skim bantuan pemilikan motosikal serta faedah bersalin.

“Rangka Kerja Ganjaran dan Faedah Bank yang baharu ini dilihat akan mengukuhkan budaya kerja berprestasi tinggi yang diamalkan oleh SME Bank. Selain itu, inisiatif ini akan membantu kakitangan terlibat menangani cabaran kenaikan kos sara hidup yang dihadapi sekarang,” tambah Dr. Aria.

Untuk meningkatkan kemahiran kakitangan bukan eksekutif, SME Bank sejak tahun lepas juga turut menganjurkan ‘Program Upward Mobility’ bagi 50 orang kakitangan melalui kolaborasi dengan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR).

Selain itu, seramai 15 orang kakitangan ‘Top Talents’ daripada kategori eksekutif dan ke atas telah ditaja untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Utara Malaysia.

SME Bank kini mempunyai 1,064 orang kakitangan dan beroperasi melalui 26 buah cawangan di seluruh negara.

Sejak penubuhannya pada tahun 2005, SME Bank telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM38 bilion dan Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), anak syarikat milik penuh SME Bank telah melatih lebih 62,000 orang peserta melalui pelbagai program latihan keusahawanannya.

-HR HUB