Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berbesar hati mengumumkan bahawa Bahagian Perkhidmatan Maklumat dan Analisa Pekerjaan (EIAS), Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO telah berjaya membangunkan satu lagi instrumen pencarian pekerjaan bagi kegunaan para pencari kerja iaitu ‘Job Growth’.
PERKESO berkata, instrumen pencarian pekerjaan ini memaparkan kadar pertumbuhan untuk setiap pekerjaan di Malaysia pada setiap minggu.
“Untuk kemudahan para pencari kerja, senarai pekerjaan dapat disusun mengikut pelbagai kategori seperti turutan abjad (alphabetical order), kadar pertumbuhan, tahap gaji dan negeri.
“Pencari kerja boleh mendapatkan maklumat yang relevan mengikut keutamaan masing-masing.
“Sebagai contoh, seorang pencari kerja yang menetap di Sabah berminat untuk mengetahui kadar pertumbuhan pekerjaan di negeri sendiri, manakala mereka yang mencari pekerjaan dengan gaji lumayan akan merujuk kepada kadar pertumbuhan pekerjaan dengan tahap gaji RM10,000 atau lebih,” katanya melalui entri terbaharu di Facebook, semalam.
Sekiranya berminat, para pencari kerja boleh menggunakan instrumen ini di pautan https://eiscentre.perkeso.gov.my/job-growth/.
Bagi sebarang maklum balas pula, sila hubungi eias.sip@perkeso.gov.my.
-HR HUB