Procter & Gamble (P&G), dengan kerjasama Singapore Economic Development Board (EDB), kelmarin telah melancarkan iLab 2021, festival inovasi maya selama tiga hari.
Festival ini akan menyaksikan syarikat-syarikat pemula dari Singapura dan seluruh rantau ini berhimpun untuk berkolaborasi bersama P&G dan membangunkan inovasi yang dapat mengatasi cabaran dalam dunia sebenar yang dihadapi dalam bidang pengiklanan, peruncitan dan rantaian bekalan.
P&G berkata, sebagai kuasa untuk kebaikan dan demi mencapai pertumbuhan, pihaknya mendasarkan komitmennya untuk menawarkan perkhidmatan kepada penggunanya dengan lebih baik dengan memanfaatkan teknologi bagi memenuhi permintaan dan harapan pengguna yang berubah.
“Dengan bekerjasama bersama syarikat-syarikat pemula yang menggunakan teknologi sedia-masa-depan, P&G akan dapat mengubah perjalanan pengguna secara konstruktif.
“Pada masa depan pasca-pandemik, usaha ke arah inovasi adalah penting demi pemulihan dan kemajuan ekonomi kami.
“Visi kami untuk P&G di rantau Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika adalah untuk menjadi Syarikat Masa Depan dan memanfaatkan Singapura sebagai hab inovasi untuk P&G dan industri kami, menerajui transformasi digital dan memperkasa inovasi dalam segenap aspek perniagaan kami,” kata Presiden, Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika, P&G Magesvaran Suranjan.
Semasa iLab, syarikat-syarikat pemula yang terpilih akan mencetuskan idea dan menyumbang saran bersama P&G untuk membantu mengatasi cabaran menggunakan teknologi dalam domain seperti pemperibadian AI, permainan, perdagangan sosial dan kebingkasan rantaian bekalan.
-HR HUB