Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) proaktif dalam menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi membantu individu yang kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan peluang pekerjaan secara lebih efektif.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya telah memeterai kerjasama strategik dengan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Persatuan PKS Malaysia (SME Malaysia) bagi menyalurkan komunikasi berkenaan inisiatif kerajaan berkaitan pekerjaan dan peningkatan peluang pekerjaan, dan pada masa yang sama, membantu ahli-ahli FMM dan SME Malaysia untuk menggajikan pekerja baharu.

“Menerusi kerjasama strategik ini, majikan daripada kedua-dua pertubuhan tersebut boleh memanfaatkan peluang daripada Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PenjanaKerjaya) yang disediakan untuk majikan yang berjaya mengambil pekerja baharu.

“PERKESO menguruskan insentif di bawah Program PenjanaKerjaya yang menyediakan subsidi kepada majikan sehingga RM36,000 bagi setiap pengambilan pekerja baharu untuk tempoh maksimum enam bulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Azman, setiap pekerja baharu digajikan layak untuk mengikuti program latihan yang ditanggung sepenuhnya di bawah PenjanaKerjaya sehingga RM7,000 bagi satu kursus latihan.

“Pekerja-pekerja ini juga layak menerima satu bayaran Bantuan Mobiliti sebanyak RM500 atau RM1,000.

“Pakej insentif ini bertujuan membantu majikan untuk mendapatkan pekerja berkemahiran untuk operasi mereka dan seterusnya membantu pengembangan perniagaan.

“Pada masa yang sama, insentif ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan dan menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran negara,” jelasnya.

Bagi menggalakkan penggunaan insentif ini secara maksimum di kalangan majikan, PERKESO telah menganjurkan Karnival Kerjaya MYFutureJobs dari 7 hingga 8 April 2021 baru-baru ini dengan penyertaan daripada 64 ahli FMM and SME Malaysia, yang menyediakan lebih 3,000 peluang pekerjaan.

-HR HUB