Agrobank mula menerapkan prinsip pemerkasaan wanita dengan memperkenalkan beberapa amalan baharu di tempat kerja yang akan dilaksanakan secara berperingkat di samping terus berusaha untuk memperkenalkan initisiatif baharu khusus untuk usahawan wanita.
Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, sesebuah organisasi dan majikan harus memainkan peranan dengan mewujudkan peluang pertumbuhan kerjaya bagi pekerja wanita tanpa mereka perlu memikirkan mengenai urusan anak-anak dan keluarga dengan membenarkan pengaturan kerja fleksibel dan amalan mesra keluarga, yang mampu meningkatkan produktiviti organisasi.
“Agrobank telah mengamalkan pelaksanaan jadual kerja fleksibel dengan membenarkan pekerjanya untuk masuk ke pejabat antara jam 8.00 pagi dan 10.00 pagi sejak tahun 2020 sebaik penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) diumumkan oleh kerajaan.
“Kami dapati langkah ini memberi ruang pengurusan masa yang lebih selesa kepada pekerja yang berkeluarga, khususnya wanita, supaya apabila mereka sampai di pejabat, mereka tidak perlu lagi memikirkan urusan berkaitan anak dan keluarga.
“Kami di Agrobank mempunyai kepelbagaian komposisi lelaki dan wanita dalam tenaga kerja. Kami sudah pun mempraktikkan prinsip pemerkasaan wanita di peringkat pengurusan tertinggi bank di mana empat daripada 10 jawatan peringkat pengurusan tertinggi dipegang oleh wanita,” katanya pada sesi webinar di FB Live Agrobank, baru-baru ini.
Tambah Khadijah, Agrobank turut dimandatkan oleh kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan bagi semua aspek komuniti berkaitan sektor pertanian, dengan penawaran produk dan perkhidmatan yang dibangunkan khusus untuk manfaat golongan wanita.
“Baru-baru ini Agrobank telah melancarkan produk Agro Farah-i, sebuah produk eksklusif buat wanita yang menerapkan elemen hibah yang dikongsikan bersama setiap akaun yang ditandakan dibawah pemilik akaun Agro Farah-i, seperti akaun suami atau anak.
“Kami juga mempunyai produk mikro kredit Agro Nisaa’-i untuk kemudahan usahawan wanita yang memerlukan pembiayaan tambahan dalam meluaskan perniagaan mereka,” tambahnya.
-HR HUB