Individu yang terlibat dengan pekerjaan yang diuruskan secara sendirian wajar memanfaatkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang telah diperkenalkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kata Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Beliau berkata, perlindungan keselamatan sosial di bawah PERKESO kini telah diperluaskan jaringan perlindungannya kepada segenap golongan masyarakat.
“Siapa yang akan menanggung perbelanjaan sekeluarga sekiranya pencari nafkah utama mengalami kemalangan atau meninggal dunia?
“Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang dirangka di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 sememangnya langkah untuk menjamin kehidupan lebih terjamin bagi individu yang merupakan sumber rezeki keluarga.
“Dengan caruman serendah RM13.10 sebulan atau 43 sen sehari, mereka akan mendapat perlindungan di bawah SKSPS yang memperuntukkan lapan jenis faedah, antaranya adalah faedah perubatan, pendidikan dan kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman rasmi Facebooknya, baru-baru ini.
Jelas Azman, caruman skim tersebut kelak akan memberi manfaat buat mereka yang bekerja sendiri lebih-lebih lagi jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Dengan usaha berterusan yang dilakukan PERKESO, saya berharap agar lebih ramai kumpulan sasar mengambil pendekatan bijak untuk mencarum dalam SKSPS untuk jaminan jika berlaku musibah. Sayangi diri anda, ingatlah keluarga tersayang,” ujarnya.
-HR HUB