Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai langkah pencegahan susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di Malaysia ketika ini yang bakal menyaksikan penghentian operasi melibatkan kebanyakan sektor.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perutusan khasnya di Bangunan Perdana Putra berkata, sektor ekonomi yang tiada halangan operasi dan dibenarkan bekerja ialah pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi.

“Sektor ini dibenarkan beroperasi kerana peranannya menyokong kerja-kerja membekal keperluan asas seperti makanan, minuman dan barangan keperluan rumah serta penjagaan diri, kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE), peranti perubatan dan ubatan kepada petugas kesihatan, aktiviti perdagangan antarabangsa, memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan menyokong infrastruktur kritikal dan kerja-kerja kecemasan,” katanya, semalam.

Muhyiddin bagaimanapun berkata, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan yang dibenarkan berada di pejabat manakala bagi pekerja di dalam kumpulan sokongan, jumlah pekerja yang diperlukan pada satu-satu masa akan ditentukan oleh majikan masing-masing.

“Ingin saya ingatkan, jumlah pekerja yang ditentukan mestilah mengambil kira pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Jangan sampai tiada penjarakan fizikal langsung sewaktu berada di tempat kerja.

“Mana-mana majikan yang melanggar SOP dan menyebabkan berlakunya penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan,” ujarnya.

PKP permulaan untuk tahun 2021 kali ini menyaksikan negeri-negeri yang terlibat ialah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Melaka, Johor dan Sabah.

-HR HUB