Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), menganjurkan Karnival PenjanaKerjaya Johor 2020 secara dalam talian, khusus untuk semua rakyat Malaysia yang telah diberhentikan kerja di Singapura.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, karnival yang kini berlangsung sehingga 16 Disember esok itu merekodkan penyertaan 30 majikan dengan lebih 1,500 jawatan kosong ditawarkan.

“Selain daripada inisiatif seperti ini, saya juga telah mengarahkan Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KSM untuk membangunkan pangkalan data yang komprehensif mengenai pekerja Malaysia di Singapura bertujuan memantau perkembangan mereka yang diberhentikan kerja di Singapura.

“Melalui data tersebut, KSM boleh merangka pelan tindakan selanjutnya bagi membantu golongan berkenaan terutamanya dalam hal penempatan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sehingga kini, dianggarkan seramai 15,346 rakyat Malaysia di Singapura telah diberhentikan kerja berdasarkan statistik yang diterima oleh KSM.

-HR HUB

PenjanaKerjaya-Johor.jpg