United Overseas Bank Limited (UOB) baru-baru ini mengumumkan bahawa ia akan memberikan pilihan kepada sebahagian besar tenaga kerjanya yang berjumlah 26,000 orang untuk bekerja dari jarak jauh dua hari seminggu apabila sekatan Covid-19 dilonggarkan.

UOB dalam kenyataan berkata, perubahan didasarkan pada hasrat bank tersebut untuk memastikan keseimbangan yang tepat di antara pencapaian profesional individu dan kesejahteraan mental mereka.

“Dua hari bekerja jarak jauh dalam seminggu didapati adalah maksimum bagi pekerja untuk mengekalkan hubungan dengan rakan sekerja dan syarikat serta untuk mencapai prestasi yang optimum.

“Pengumuman ini merangkumi kajian enam bulan berkenaan corak kerja, ruang kerja dan kelengkapan teknologi kakitangan.

“Kira-kira 65 peratus tugasan bank, yang kesemuanya tidak berurusan terus dengan para pelanggan, telah dinilai sebagai sesuai untuk bekerja secara jarak jauh, sama ada di rumah atau lokasi selain daripada tempat kerja yang telah ditetapkan untuk pekerja.

“Pilihan Kerja Jarak Jauh UOB yang baru adalah sejajar dengan sentimen komuniti yang lebih luas di mana 80 peratus pekerja di seluruh ASEAN mengatakan bahawa mereka mahukan beberapa bentuk pengaturan kerja yang fleksibel daripada majikan mereka,” jelas kenyataan tersebut.

-HR HUB