Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) berharap lebih banyak pihak berkepentingan terus tampil menyokong inisiatif program ‘Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs’ (PROTEGE) bagi meningkatkan potensi keboleh pasaran dan memupuk kemahiran keusahawanan dalam kalangan graduan.
Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Statistik Utama Tenaga Buruh, Malaysia Suku Pertama Tahun 2020 baru-baru ini yang menunjukkan kadar 6.9 peratus pengangguran belia berumur 15 hingga 30 tahun perlu ditangani segera melalui sokongan dan komitmen pihak yang terlibat.
“Sehingga kini, sebanyak 25 Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), 600 syarikat-syarikat penerima perolehan Kerajaan di bawah arahan Pekeliling Perbendaharaan Perolehan Kerajaan, 80 syarikat-syarikat swasta dan lain-lain telah mengambil bahagian dan komited melaksanakan program tersebut.
“MEDAC juga turut bekerjasama dengan 120 Institusi Kewangan melalui Bank Negara Malaysia dan Financial Industry Collective Outreach (FINCO) bagi menempatkan lebih ramai graduan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Wan Junaidi, kementeriannya amat mengalu-alukan penyertaan lebih banyak GLC, Kerajaan-Kerajaan Negeri, syarikat swasta dan lain-lain dalam menjayakan agenda penting kerajaan dalam usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran terutama dalam kalangan graduan.
-HR HUB