Golongan pengajar dan penuntut Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan menikmati kemudahan melalui pengenalan dua aplikasi terbaharu, Sistem Pengurusan Integrasi Kemahiran Malaysia (MySPIKE) dan TVET Instructor eProfiling System (TiPS).
Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua aplikasi tersebut yang beroperasi secara atas talian telah dibangunkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bersama-sama Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST).
“MySPIKE berfungsi sebagai modul pentauliahan, pendaftaran, verifikasi, persijilan, penarafan bintang, SkillsMalaysia, Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) manakala TiPS mengenal pasti jurang kompetensi tenaga pengajar kemahiran TVET.
“Kedua-dua sistem aplikasi atas talian ini dapat membantu memudahkan proses kerja seluruh warga kemahiran TVET,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook.
Pelancaran aplikasi MySPIKE dan TiPS telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim, dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), hari ini.