Golongan nelayan yang rata-ratanya bekerja sendiri kini boleh menarik nafas lega setelah kerajaan bersetuju membenarkan caruman bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dibuat oleh kumpulan berkenaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Khabar gembira itu telah diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dalam satu majlis pelancaran Caruman Perkeso Nelayan di Bukit Gantang, Perak baru-baru ini.
PERKESO ketika memberi respons berhubung pengumuman tersebut berkata, semua nelayan berdaftar di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan menerima Elaun Sara Hidup Nelayan layak menerima manfaat berkenaan yang telah pun dibuka bermula sejak 15 Ogos lalu.
“Inisiatif yang dirangka melalui jalinan kerjasama antara PERKESO dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ini akan memanfaatkan hampir 40,000 nelayan dengan bayaran caruman serendah RM157.20 untuk setahun.
“PERKESO berharap dengan pelaksanaan initiatif ini juga adalah langkah awal bagi memperluaskan perlindungan SKSPS kepada sektor lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) khususnya yang melibatkan individu bekerja sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
-HR HUB