Putra Business School (PBS) telah menganjurkan program latihan ‘Putra Senior Management and Leadership Programme: Enhancing Corporate Spiritualities’ untuk 30 Pegawai Tadbir Diplomatik di premis PBS, baru-baru ini.

Antara tokoh terkemuka yang hadir sebagai penceramah termasuklah, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed; Ahli Lembaga Pengarah Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd, Datuk Zakri Afandi Ismail; Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Suhaime Mahbar.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PBS, Prof. Dr. Zulkornain Yusop, dalam ucapan alu-aluan beliau berkata bahawa program ini turut dianjurkan bagi mempromosikan konsep dan prinsip Tadbir Urus Insan (Human Governance), yang merupakan falsafah yang diamalkan di PBS.

Datuk Rosman Mohamed, dalam sesi bertajuk ‘Inculcating Corporate Spirituality Values in the Workplace’, selain menekankan kepentingan mempraktikkan nilai-nilai korporat, turut berkongsi pengalaman beliau sepanjang perjalanan kerjaya beliau.

Selain itu, perbezaan antara jenis-jenis pengurusan dan falsafah korporat telah diketengahkan dalam sesi ‘Global Governance Issues In Private And Public Sectors’ yang dibentangkan oleh Datuk Zulkopli Abdul, Datuk Zakri Afandi dan Muhamad Yazdi Che Ya. Menurut Datuk Zakri Afandi, “Tadbir urus korporat sepatutnya digunakan sebagai panduan dan bukan menghalang urusan perniagaan.”

Datuk Hussamuddin dalam sesi bertajuk ‘Expert Sharing Session On Authentic Leadership’, telah menerangkan mengenai kualiti kepimpinan. Manakala Datuk Suhaime menerangkan kepentingan etika dalam perkhidmatan awam semasa sesi beliau yang bertajuk ‘Reflections On Ethics For the Public Servant’.

Para peserta telah memberikan maklum balas yang positif selepas tamat program ini malah merakamkan penghargaan kerana diberi peluang menghadiri program yang unik ini.