Langkah proaktif kerajaan memperkenalkan inisiatif-inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PRIHATIN PKS Tambahan) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang berjumlah RM295 bilion bukan sahaja memulih dan menjana semula ekonomi, malah turut berjaya menyelamatkan 2.75 juta pekerjaan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kerjasama yang dijalankan dengan erat oleh kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) kini diperkukuhkan bagi pelaksanaan setiap inisiatif tersebut dapat direalisasikan untuk kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan dalam tempoh yang sukar ini.

“Lebih 2.75 juta pekerjaan telah berjaya diselamatkan di bawah program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerja.

“Selain itu, lebih 800 ribu perniagaan, termasuk perniagaan mikro dan PKS, telah menerima manfaat daripada pakej-pakej rangsangan ini. Pakej-pakej PRIHATIN dan PENJANA dianggarkan menyumbang lebih tiga peratus kepada pertumbuhan KDNK negara pada tahun ini,” katanya ketika mengumumkan Perkembangan Terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Perdana Putra, semalam.

Tambah Muhyiddin, pembukaan semula sektor-sektor ekonomi juga telah menidakkan situasi kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia.

“Dari segi bantuan untuk para usahawan, seramai 545,000 usahawan mikro telah menerima Geran Khas Prihatin dengan nilai keseluruhan RM1.6 bilion.

“7,000 orang menerima kemudahan kredit mikro Bank Simpanan Nasional dengan nilai keseluruhan RM247 juta dan lebih 23,000 orang menerima kemudahan kredit mikro Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dengan nilai keseluruhan RM177 juta.

“Subsidi upah bernilai RM7.4 bilion juga telah disalurkan. Inisiatif ini telah memberi manfaat kepada 834,000 majikan dan 6.7 juta pekerja di seluruh negara,” katanya.