Program latihan semula yang dikendalikan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) adalah landasan terbaik kepada tenaga kerja industri automotif untuk meningkatkan potensi serta kemahiran masing-masing, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong.

Beliau berkata, platform latihan tersebut juga wajar direbut oleh golongan siswazah memandangkan permintaan kerja terhadap pasaran automotif bukan sahaja kian meningkat di dalam negara malah turut mendapat tempat di serata dunia.

Ban Hong melihat penglibatan siswazah dan pekerja automotif sedia ada secara tidak langsung juga merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai hab pekerja bekemahiran tinggi malahan menarik pelaburan bernilai tinggi ke negara ini.

“Industri automotif adalah industri utama yang mewujudkan peluang pekerjaan kepada bakat muda di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan selepas hadir mengadakan lawatan kerja di Akademi Teknologi MARii, hari ini.