Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalu-alukan pemberian geran padanan oleh kerajaan untuk pekerja dalam sektor ekonomi gig untuk membuat simpanan KWSP mereka melalui program i-Saraan.
i-Saraan adalah program caruman sukarela KWSP dengan insentif untuk golongan yang bekerja sendiri. Ciri utama kemudahan ini adalah pemberian insentif khas Kerajaan sebanyak 15 peratus (tertakluk kepada jumlah maksimum RM250 setiap tahun) kepada ahli di bawah umur 55 tahun yang telah mendaftar dan mencarum dalam program ini.
Pengumuman kerajaan, baru-baru ini yang memberi peruntukan sebanyak RM50 juta di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi yang bertujuan menyokong rangka perlindungan sosial untuk sektor ekonomi gig dan menggalakkan pekerja platform gig untuk menyimpan demi masa depan.
Ketua Pegawai KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, langkah tersebut adalah tepat pada masanya bagi menyesuaikan perkembangan semasa dalam sektor pekerjaan berikutan tahun ini adalah tahun yang tidak menentu dan mencabar buat semua lebih-lebih lagi keadaan pandemik yang telah mengubah landskap pekerjaan.
“Pekerja platform gig di Malaysia, terutamanya pemandu dan pengendali penghantaran, telah menjadi nadi ekonomi negara kita dalam bulan-bulan yang mencabar ini.
“Oleh kerana mereka secara teknikalnya bekerja sendiri, tiada mekanisme formal untuk mereka membuat simpanan bagi masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Alizakri, pihaknya berharap insentif kerajaan ini akan mendorong golongan berkenaan untuk mula menabung.
“i-Saraan adalah caruman secara sukarela, tetapi ahli KWSP di bawah program ini akan mendapat faedah yang sama dengan ahli KWSP yang bekerja sepenuh masa, ditambah dengan sumbangan tambahan daripada Kerajaan untuk memberi insentif kepada mereka agar lebih banyak menabung,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai i-Saraan, sila layari laman web KWSP di kwsp.gov.my.