Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memberi pelepasan kepada majikan yang berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) untuk dikecualikan daripada membayar levi untuk tempoh selama enam bulan.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, inisiatif pengecualian tersebut dijangka bakal memberi manfaat kepada lebih 30,000 majikan dengan pelaksanaan berkuatkuasa bermula April hingga September 2020.

“inisiatif itu merupakan usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan dan meringankan beban yang ditanggung majikan dan rakyat, akibat penularan Covid-19, selain memastikan pasaran pekerja tempatan terus utuh.

“Tiada sebarang pendaftaran diperlukan majikan kerana semua majikan berdaftar dengan PSMB akan dikecualikan daripada membuat caruman secara automatik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Untuk sebarang maklumat lanjut, pihak terlibat boleh layari laman www.hrdf.com.my atau hubungi e-mel perkhidmatan pelanggan PSMB di support@hrdf.com.my serta talian 1800-88-4800.